Adik sempat capai tangan ibu tapi jeriji jadi penghalang: Anak

20 Sep 2026, 6:58 AM
Adik sempat capai tangan ibu tapi jeriji jadi penghalang: Anak
Adik sempat capai tangan ibu tapi jeriji jadi penghalang: Anak

IPOH, 20 SEPT: "Adik bongsu lelaki sempat mencapai tangan emak untuk cuba menyelamatkannya, tetapi ada jeriji besi di bahagian balkoni menyebabkan dia (adik) tidak sempat menarik emak keluar dari rumah".

Demikian kata Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, ketika menceritakan detik cemas kebakaran yang meragut nyawa ibu, bapa serta anak saudara lelakinya, awal pagi tadi.

Kebakaran membabitkan sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini, menyebabkan pasangan suami isteri warga emas Raja Ahmad Raja Ali, 70, dan Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, maut dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

Raja Ikhwan Hadi berkata usaha adiknya Raja Muhammad Shukri, 30, yang ketika itu baru pulang daripada makan di luar, tidak berhasil disebabkan jeriji besi yang menghalangnya untuk menyelamatkan ibunya itu.

Ketika kejadian, katanya, dia yang sedang tidur di hadapan parkir rumahnya kerana pulang lewat semalam, terdengar anak saudaranya, Nik Abdurrahman Azimin Harith menjerit meminta pertolongan sebelum terdengar bunyi kaca pecah.

"Saya cuba masuk ke dalam rumah, namun api sudah marak dan asap tebal … saya meminta pertolongan daripada jiran-jiran, mereka membantu menghubungi bomba serta cuba selamatkan mangsa yang berada di dalam rumah, namun tidak berjaya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Raja Ikhwan Hadi yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata beberapa jam sebelum kejadian, ibunya ada memberitahu dia berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu akan berlaku.

"Saya sempat keluarkan sebuah motosikal yang ada di dalam tempat letak kereta itu, namun barangan lain tak sempat nak selamatkan," katanya.

Sementara itu, Helal Zamri, 37, bapa kepada Nik Abdurrahman Azimin Harith berkata dia menerima maklumat tentang kejadian itu kira-kira 5.30 pagi tadi.

Katanya, anaknya itu telah tinggal di rumah berkenaan sejak kecil dan dijaga oleh ibu dan bapa mentuanya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan anak serta ibu dan bapa mentuanya minggu ini dan mereka seperti biasa, tidak menunjukkan apa-apa perubahan. Anak lelaki saya itu bekerja bersama dengan saya mengusahakan katering,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.