SHAH ALAM, 2 APR: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi pendidikan menerusi lawatan penanda aras dan sesi libat urus pendigitalan bersepadu di Sekolah Agama Menengah (SAM) Bestari hari ini.
JPNS memaklumkan, program dipengerusikan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD JPNS, Abdul Rahim Khalid itu bertujuan membuka ruang perkongsian dengan pihak sekolah dalam pelaksanaan pendigitalan pendidikan.
"Program ini bertujuan mengukuhkan kerjasama strategik antara JPNS dan pihak sekolah serta berkongsi amalan terbaik dalam pelaksanaan pendigitalan pendidikan, termasuk penggunaan sistem," menurut kenyataannya di Facebook.
Dalam sesi yang berlangsung di bilik mesyuarat sekolah berkenaan pada jam 9 pagi itu, SAM Bestari turut berkongsi pengalaman serta kejayaan mengaplikasikan teknologi digital dalam pengurusan sekolah.
"Ia sekali gus menjadikan sekolah ini sebagai rujukan bagi inisiatif pendigitalan pendidikan di Negeri Selangor," menurut kenyataan.
Dalam pada itu, JPNS berharap usaha berkenaan terus memperkasa agenda pendigitalan pendidikan negeri seterusnya memberi impak positif kepada sistem pendidikan secara menyeluruh.










