SHAH ALAM, 2 APR: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini menyantuni dan menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada keluarga mangsa yang maut akibat dilanggar pemandu mabuk.
Setiausahanya, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata bantuan itu melibatkan peruntukan daripada sumber Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
"Bantuan ini disampaikan bertujuan membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga mangsa selain menzahirkan keprihatinan MAIS terhadap nasib yang menimpa mereka," katanya menerusi kenyataan.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada isteri Allahyarham Amirul Hafiz Omar, Nor Nadia Abdul Majid di kediamannya. Turut hadir Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Suhaimi Ismail serta Ketua Pegawai Korporat & Projek Khas LZS, Ariffa Ariffin.
Selain bantuan tunai, MAIS turut menyalurkan bantuan makanan asas, manakala LZS sedang menjalankan bancian asnaf bagi menilai kelayakan keluarga berkenaan menerima bantuan zakat.
Manakala YIDE sudah menziarahi serta menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa semalam.
"Sekiranya layak, bantuan seterusnya yang bersesuaian akan disalurkan bergantung kepada keperluan keluarga ini," jelasnya dan berharap keluarga mangsa terus diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.
"Semoga sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu mereka meneruskan kehidupan," katanya.










