Daripada gred G ke A, modul PTRS bantu pelajar raih 7A 1B

3 Apr 2026, 2:00 AM
Daripada gred G ke A, modul PTRS bantu pelajar raih 7A 1B
Daripada gred G ke A, modul PTRS bantu pelajar raih 7A 1B

KAJANG, 3 APRIL: Siapa sangka, daripada pernah memperoleh gred G dalam subjek Matematik ketika peperiksaan percubaan, seorang pelajar kini mampu tersenyum bangga apabila meraih A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Bagi Muhammed Fazil Muhammad Saludeen, 18, kejayaan memperoleh 7A 1B disifatkan sebagai di luar jangkaan, malah jauh melepasi sasaran asalnya iaitu hanya empat A.

“Saya langsung tidak menjangka mampu memperoleh gred A dalam subjek Matematik kerana ketika peperiksaan percubaan saya hanya mendapat gred G.

“Keputusan keseluruhan saya sebelum ini ialah 3A, 2B, 1C, 1D dan 1G. Namun, segalanya berubah dalam tempoh lima bulan apabila saya mula memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, khususnya Matematik yang sebelum ini saya anggap paling lemah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Goodview Heights, di sini, semalam.

Temu bual pelajar cemerlang Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Muhammed Fazil Muhammad Saludeen di Goodview Heights, Kajang pada 2 April 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata penggunaan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bagi subjek teras iaitu Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada lonjakan prestasinya.

“Selain menghadiri kelas tambahan selepas waktu persekolahan, saya turut memperuntukkan kira-kira dua hingga tiga jam sehari untuk mengulang kaji menggunakan modul PTRS, di samping membuat latihan serta meneliti soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.

“Modul PTRS memang berkualiti dan banyak membantu dalam persediaan saya. Dalam peperiksaan sebenar, kira-kira 70 hingga 80 peratus soalan adalah sama atau hampir menyerupai latihan yang telah saya lakukan,” ujarnya.

Walaupun tidak melalui Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), beliau menegaskan sokongan padu guru serta keluarga menjadi kekuatan utama untuk terus berusaha.

Mengulas perancangannya, Fazil berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di Universiti Sains Malaysia (USM), selari dengan minat mendalamnya terhadap teknologi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad memaklumkan keputusan SPM 2025 mencatat pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42 berbanding 4.49 pada 2024.

Beliau berkata seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak menerima sijil SPM pada 2025, dengan 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.