SHAH ALAM, 2 APR: Pelancaran semula Pasaraya Giant di Stadium Shah Alam, Seksyen 13, dijangka merancakkan kembali ekosistem perniagaan setempat serta memberi manfaat kepada pengusaha kecil dan sederhana.
EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penjenamaan semula pasar raya itu melibatkan proses baik pulih termasuk perubahan susun atur premis bagi membolehkan penyewa baharu memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Perubahan ini diharap dapat menarik semula minat masyarakat untuk kembali menyokong jenama pasar raya tempatan, di samping memperkukuh aktiviti perniagaan di kawasan ini,” katanya pada sidang media pelancaran.
Beliau menambah transformasi yang dilakukan selaras dengan komitmen Giant untuk menyesuaikan operasi mereka mengikut trend dan keperluan pengguna.
Najwan turut memaklumkan bahawa Giant menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan program pemberian baucar Jom Shopping sempena musim perayaan.

“Inisiatif pemberian baucar melalui program Jom Shopping memberi ruang kepada masyarakat untuk berbelanja serta membantu merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.
Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan memaklumkan sebanyak 38,400 baucar Program Jom Shopping Perayaan Aidilfitri diagihkan tahun ini, membabitkan peruntukan RM7.68 juta.
V. Papparaidu berkata pengagihan baucar tersebut meliputi 56 DUN di seluruh Selangor bagi membantu golongan sasar membuat persiapan menjelang perayaan.








