SHAH ALAM, 2 APRIL: Malaysia menguatkuasakan larangan mutlak import sisa elektronik (e-waste) berkuat kuasa 1 April, sebagai langkah tegas membendung kemasukan buangan berbahaya ke dalam negara.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan pengimportan e-waste kini disenaraikan sebagai larangan penuh di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 menerusi pindaan terbaharu yang diwartakan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Amran Ahmad berkata berkata pewartaan itu dibuat selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967.
“Pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke Malaysia telah diwartakan sebagai barang larangan import secara mutlak di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 melalui Warta Kerajaan Persekutuan.
“Ia berkuat kuasa pada 1 April 2026,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya ke dalam negara serta melindungi alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata, JKDM turut akan memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Kerjasama ini bagi memastikan larangan terhadap pengimportan buangan terjadual, khususnya e-waste, dikuatkuasakan secara tegas dan berkesan selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel,” katanya.








