KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 melanda utara Laut Maluku, Indonesia pada 6.48 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer (km) pada jarak 128 kilometer (km) dari Bitung.
Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
“MetMalaysia sedang memantau kejadian ini,” menurut hantaran di Facebook.
Stesen penyiaran Indonesia, Metro TV, melaporkan seorang individu maut akibat ditimpa runtuhan di kawasan Manado, dan rakaman video menunjukkan beberapa bangunan mengalami kerosakan.
Seorang penduduk Manado memberitahu Reuters, orang ramai berlari keluar dari rumah dalam keadaan panik. Tiada kerosakan jelas di kawasan kejiranannya, namun beberapa barang jatuh dari rak dan bekalan elektrik terputus.
Indonesia terletak di kawasan "Lingkaran Api Pasifik" (Pacific Ring of Fire), iaitu zon yang sangat aktif dari segi seismik di mana beberapa plat kerak bumi bertemu, menyebabkan berlakunya banyak gempa bumi dan gunung berapi.








