Lebih 49,700 pili bomba rosak, komponen logam hilang antara punca utama

1 Apr 2026, 9:50 AM
Lebih 49,700 pili bomba rosak, komponen logam hilang antara punca utama

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sebanyak 49,794 unit pili bomba di seluruh negara mengalami pelbagai bentuk kerosakan dan kegagalan fungsi sepanjang tahun lalu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata angka berkenaan mewakili kira-kira 13.7 peratus daripada keseluruhan 363,340 unit pili bomba awam yang diperiksa menerusi operasi pemeriksaan berkala sepanjang tahun lalu.

Menurut JBPM, analisis terperinci mendapati punca utama kerosakan pili bomba disebabkan kehilangan komponen logam.

"Statistik merekodkan 10,424 kes membabitkan kehilangan 'outlet pillar cap', 8,109 kes membabitkan ketiadaan penutup 'chamber' dan 3,359 kes membabitkan kerosakan fizikal serius seperti tiang pili patah atau rosak teruk.

"Ketiadaan komponen ini bukan sahaja mendedahkan sistem dalaman kepada risiko kemasukan bendasing dan kerosakan mekanikal, malah menjejaskan kelancaran penyambungan hos semasa tempoh kritikal atau golden time dalam operasi pemadaman," maklumnya menerusi kenyataan

JBPM menegaskan tindakan merosakkan atau mengganggu fungsi pili bomba bukan sekadar kesalahan kecil terhadap harta awam tetapi menjadi faktor risiko yang boleh mengubah dinamik pengurusan insiden.

"Apabila anggota tiba di lokasi dan mendapati pili bomba dihalang, ditimbus atau komponen kritikalnya hilang, pelan tindakan asal perlu dirombak serta-merta.

"Kelewatan ini memaksa pasukan bomba menggunakan alternatif seperti bekalan tangki jentera yang terhad atau teknik relay pumping yang menuntut tenaga kerja dan masa tambahan. Sebarang kelewatan dalam mengaktifkan sumber air berisiko menyebabkan kebakaran kecil berkembang menjadi insiden berskala besar serta mengancam keselamatan nyawa," katanya.

JBPM mengingatkan orang ramai perbuatan merosakkan atau menghalang akses kepada pili bomba adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.