SHAH ALAM, 1 APRIL: Empat skim geran yang menyokong matlamat komuniti dan kelestarian kini dibuka kepada penduduk di Petaling Jaya.
Geran Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) 2026 antara program utama ditawarkan, dengan fokus memperkukuh langkah keselamatan di kawasan perumahan.
Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, berkata geran itu diperkenalkan bagi menyokong usaha penduduk mengekalkan kejiranan yang selamat.
Jamaliah, yang juga Exco Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri, berkata inisiatif tersebut bertujuan memastikan kawasan perumahan kekal selamat, khususnya apabila semakin banyak komuniti mengamalkan konsep berpagar dan berpengawal.
Tambahnya, dana berkenaan boleh digunakan oleh persatuan penduduk untuk menaik taraf sistem televisyen litar tertutup (CCTV), menambah baik pencahayaan di kawasan gelap serta menyokong aktiviti rondaan.
Beliau turut maklumkan balas penduduk menunjukkan tahap keselamatan meningkat dan kadar jenayah menurun susulan pemasangan kamera keselamatan.
Permohonan geran PKKPJ dibuka sehingga 14 April melalui portal dalam talian yang ditetapkan.
Skim itu terbuka kepada persatuan penduduk, Rukun Tetangga, badan pengurusan bersama serta majlis komuniti kampung bagi pemohon yang menerima geran tahun lalu perlu mengemukakan laporan aktiviti terdahulu sebelum membuat permohonan baharu.
Turut ditawarkan ialah Skim Rebat Cukai Taksiran Rumah Hijau yang menyediakan rebat kepada pemilik rumah yang mengamalkan amalan mesra alam.
Dibuka sehingga 31 Mei, skim ini memerlukan pemohon memenuhi kriteria dalam lima aspek iaitu penggunaan air, biodiversiti, pengurusan sisa, pengangkutan dan tenaga. Permohonan perlu dibuat melalui platform e-Rebat.
Sementara itu, geran PJ SEED 8.0 menawarkan pembiayaan antara RM5,000 hingga RM50,000 bagi menyokong projek berasaskan komuniti.
Jamaliah berkata inisiatif itu diperluas susulan pandemik COVID-19 bagi menggalakkan penyertaan komuniti, termasuk aktiviti seperti pertanian bandar dan pembangunan ruang hijau bersama.
“Kami mahu mengaktifkan komuniti untuk mewujudkan lebih banyak ruang hijau,” katanya seperti dilapor The Star.
Projek layak di bawah PJ SEED merangkumi program kesedaran awam, khidmat komuniti, penambahbaikan infrastruktur serta inisiatif jaringan komuniti. Permohonan dibuka sehingga 31 Mei.
Ketiga-tiga skim iaitu PKKPJ, Skim Rebat Cukai Taksiran dan PJ SEED ditawarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Selain itu, Geran Pro-Komuniti 4.0 di bawah kawasan DUN Bandar Utama menyokong program yang dianjurkan kumpulan komuniti setempat.
Geran itu terbuka kepada organisasi berdaftar seperti persatuan penduduk, Rukun Tetangga, jawatankuasa kampung, badan pengurusan bersama serta perbadanan pengurusan.
Dalam majlis tersebut, Penolong Pengarah Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (pentadbiran dan teknologi hijau) MBPJ, Nur Wahidah Zakaria, turut memberi taklimat mengenai geran PJ SEED dan skim rebat cukai taksiran.
Orang ramai yang berminat digalakkan meneliti syarat kelayakan sebelum membuat permohonan.








