SHAH ALAM, 1 APRIL: Kerajaan digesa melaksanakan kajian khas bagi menilai keperluan pindaan undang-undang sedia ada bagi memperkukuh perlindungan terhadap mangsa kemalangan dan keluarga mereka.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata langkah itu penting bagi memastikan sistem perundangan relevan dengan realiti semasa, khususnya dalam menjaga kebajikan waris mangsa.
Menurutnya, perhatian tidak seharusnya hanya tertumpu kepada proses undang-undang terhadap pesalah, sebaliknya perlu turut mengambil kira kesan jangka panjang yang ditanggung keluarga mangsa.
“Saya menghormati sepenuhnya segala proses undang-undang yang telah ditetapkan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa serta institusi kehakiman untuk menentukan keadilan berdasarkan fakta dan peruntukan sedia ada.
“Namun, perhatian yang sama penting harus diberikan kepada nasib keluarga mangsa, khususnya balu dan anak-anak yang kehilangan tempat bergantung,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesan tragedi kemalangan bukan sahaja berlaku secara serta-merta, malah berpanjangan dan memberi tekanan besar kepada kehidupan waris.
“Ramai dalam kalangan mereka kehilangan sumber pendapatan utama, sekali gus berdepan tekanan kehidupan yang mendadak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius implikasi setiap kes kemalangan, termasuk yang berpunca daripada kecuaian serta pengaruh dadah dan alkohol.
"Saya berharap keadilan dapat ditegakkan, dan dalam masa yang sama, kebajikan keluarga mangsa terus diberi perhatian sewajarnya," katanya.
Pada Ahad lalu, Amirul Hafiz Omar, 33, maut di lokasi selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki secara melulu di Jalan Raya Barat, Klang.
Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa, Amirul Hafiz Omar.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Berikutan itu, pemandu terbabit, R Saktygaanapathy, 28, yang juga juruteknik didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz.
Saktygaanapathy yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah sehingga menyebabkan kematian dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz di lokasi berkenaan kira-kira jam 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun jika sabit kesalahan.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh turut berdepan hukuman sebatan tidak kurang 12 kali.







