Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut didakwa hari ini

1 Apr 2026, 12:13 AM
Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal hingga maut didakwa hari ini

SHAH ALAM, 1 APRIL: Lelaki yang ditahan reman berhubung insiden memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah hingga mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara itu menerusi pesanan ringkas kepada media malam tadi.

Menurut beliau, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada jam 8.30 pagi bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kes berkenaan.

Siasatan mendapati lelaki terbabit positif alkohol dan dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu tidak kurang 10 tahun.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut di lokasi selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu suspek, dipercayai secara melulu di lorong bertentangan menghala ke bandar Klang.

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di laluan bertentangan sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa, Amirul Hafiz Omar.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.