MCMC siasat tiga individu sebar maklumat palsu tarif elektrik

1 Apr 2026, 3:26 AM
MCMC siasat tiga individu sebar maklumat palsu tarif elektrik

SHAH ALAM, 1 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan peningkatan tarif baharu elektrik di platform digital.

MCMC memaklumkan siasatan itu dijalankan susulan aduan terhadap kandungan yang tular di Facebook, Threads dan WhatsApp, yang didapati tidak benar serta berpotensi mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, hasil semakan mendapati kandungan berkenaan telah disunting daripada bahan rasmi sebuah agensi berita.

“Kandungan yang disebarkan adalah bersifat palsu dan boleh menimbulkan persepsi negatif serta mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan maklumat tidak benar.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan supaya menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.