Ketegangan global beri kesan rantaian bekalan, pengguna digesa belanja berhemat

29 Mac 2026, 6:25 AM
Ketegangan global beri kesan rantaian bekalan, pengguna digesa belanja berhemat

SHAH ALAM, 29 MAC: Orang ramai disaran berbelanja secara berhemat serta merancang kewangan dengan menyediakan anggaran perbelanjaan mengikut keperluan susulan konflik di Timur Tengah.

EXCO Pengguna Datuk Rizam Ismail berkata masyarakat perlu peka dan cakna dengan ketegangan melibatkan Iran-Amerika Syarikat- Israel kerana ia beri kesan khususnya rantaian bekalan makanan.

“Apabila Selat Hormuz ditutup, ia beri kesan sehingga 25 peratus minyak dunia bahkan berantai kepada kos input pertanian dan harga makanan ditambah dengan cuaca panas.

“Sebab itu, masyarakat perlu peka dan cakna perkara ini yang mana kos barangan pertanian dan makanan harian juga akan meningkat.

“Mereka perlu buat perbelanjaan berhemat, jika sebelum ini tiada anggaran kini perlu dibuat dan diatur lebik baik dalam menempuh waktu sukar,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, beliau menyatakan langkah tambahan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) secara berperingkat bagi penjawat awam juga membantu rakyat dalam mendepani konflik global.

Sementara itu, Rizam turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan bekalan makanan mencukupi untuk rakyat Selangor.

“Bukan sahaja bekalan tetapi juga kawalan harga barangan supaya tiada pihak mengambil kesempatan atas krisis sedang berlaku.

“Kita akan cuba pastikan bekalan makanan mencukupi di Selangor kerana negeri ini merupakan paksi Malaysia penduduknya ramai,” ujarnya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.