SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan terbuka untuk membenarkan sistem perkongsian kenderaan e-panggilan (carpool) bagi mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan kecekapan pengangkutan susulan tekanan kenaikan harga tenaga global.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu membolehkan beberapa penumpang berkongsi perjalanan dan membahagikan tambang.
“Kita sebenarnya membenarkan pengendali e-panggilan melaksanakan sistem carpool… mereka boleh mengambil beberapa penumpang sepanjang perjalanan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata model sedia ada, di mana satu kenderaan hanya membawa seorang penumpang, menyebabkan kos perjalanan lebih tinggi, manakala sistem perkongsian boleh mengurangkan kos dengan ketara bergantung kepada penerimaan pengguna.
Menurutnya, langkah ini antara usaha kerajaan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga dan kos sara hidup susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Dalam ucapannya, Loke berkata konflik tersebut adalah isu serius dan kerajaan kini berada dalam mod berjaga-jaga.
Katanya, kos tenaga meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh sebulan lalu, sekali gus memberi kesan kepada industri dan ekonomi global.
“Walaupun keadaan sekarang masih normal, kita tidak boleh ambil mudah. Malaysia juga boleh terkesan jika konflik ini berterusan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan turut menyediakan insentif bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti pas bulanan My50 di Lembah Klang.
Beliau turut menggesa orang ramai dan syarikat mengamalkan perjalanan lebih efisien termasuk berkongsi kenderaan dan mengurangkan perjalanan tidak perlu bagi menjimatkan penggunaan bahan api.
“Carpool penting. Bukan sahaja jimat kos petrol, tetapi juga membantu mengekalkan bekalan,” katanya.
Loke berkata rakyat Malaysia perlu mula menyesuaikan gaya hidup termasuk mengurangkan pembaziran dan menggunakan sumber secara lebih cekap dalam menghadapi ketidaktentuan global.








