SHAH ALAM, 2 MEI: Kerajaan digesa meneliti semula struktur caj insurans e-panggilan yang dilihat semakin membebankan pemandu, khususnya dalam keadaan kos operasi yang terus meningkat akibat tekanan ekonomi global.
Presiden Grab Driver Malaysia Association (GDMA), Mohd Azril Mohd Amin berkata langkah itu penting bagi memastikan kadar insurans lebih berpatutan serta mengurangkan beban pemandu yang turut terkesan dengan krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya, penyesuaian dasar perlu dilaksanakan bagi menyerap tekanan kos tersebut agar tidak sepenuhnya ditanggung oleh pemandu, sekali gus memastikan kelangsungan sektor e-panggilan kekal mampan.
“Yang paling tertekan sekali sebenarnya insurans e-panggilan. Saya sendiri pun sebenarnya memang terkesan. Saya baru kemalangan dan terpaksa gunakan NCD saya. Bila saya beli berserta insurans e-panggilan jumlah RM4,200.
“Untuk kenderaan normal RM2,000 ke atas itu adalah harga yang biasa untuk insurans e-panggilan. Boleh kata hampir RM2,500 ke RM3,000.
“Kenaikannya 150 hingga 200 peratus, memang sangat-sangat tinggi lah sebenarnya. Makin lama makin naik. Tidak ada pengurangan langsung dari tiga atau empat tahun lepas,” katanya kepada Media Selangor.
Selain itu, Kerajaan turut disaran meneliti semula kadar subsidi petrol BUDI95 susulan peningkatan kos operasi yang terus menekan pemandu e-panggilan, khususnya mereka yang menggunakan kenderaan bersaiz besar atau kategori eksekutif.
“Subsidi minyak itu mungkin boleh lebih tinggi, RM800 itu tidak cukup. Mungkin untuk kereta biasa itu cukup tetapi kalau untuk kenderaan yang lebih besar contohnya kenderaan eksekutif, ia tidak mencukupi,” katanya.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan sebelum ini berkata tahap kelayakan siling bulanan BUDI95 bergantung kepada jumlah jarak perjalanan dan bagi pemandu e-hailing yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer, mereka layak menerima 300 liter seperti sedia ada.
Manakala bagi pemandu yang memandu antara 2,000 hingga 5,000 kilometer pula mereka akan menerima tambahan 300 liter menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.
Selain itu mereka yang melebihi 8,000 kilometer layak memperoleh 800 liter sebulan iaitu tambahan 500 liter.







