Kerajaan susun semula projek pembangunan, fokus pulangan ekonomi

31 Mac 2026, 2:42 PM
Kerajaan susun semula projek pembangunan, fokus pulangan ekonomi

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan akan menyusun semula keutamaan projek pembangunan dengan memberi tumpuan kepada projek yang memberi manfaat ekonomi paling besar susulan konflik di Asia Barat yang menjejaskan ekonomi global.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peruntukan sedia ada akan dikekalkan dan projek yang sedang berjalan tidak akan dibatalkan.

“Setakat kementerian saya, tiada projek yang dihentikan. Tiada pemotongan bajet kerajaan buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis kutipan dana SMJK Chan Wa di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus menilai dan memilih projek yang memberi pulangan ekonomi terbaik, selain memastikan agenda pembangunan negara diteruskan walaupun berdepan ketidaktentuan global.

Mengulas projek terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey, Loke menjelaskan ia bukan projek kerajaan.

“Ia projek sektor swasta dan biasanya dinilai berdasarkan pelaburan jangka panjang,” katanya.

Konflik di Asia Barat tercetus sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 2,000 nyawa.

Susulan konflik itu, harga minyak global meningkat mendadak selepas Iran menutup Selat Hormuz, sekali gus mendorong kenaikan kos di peringkat global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.