Projek pembangunan punca banjir di Lebuhraya PLUS Nilai

7 Mac 2026, 8:33 AM
Projek pembangunan punca banjir di Lebuhraya PLUS Nilai

SHAH ALAM, 7 MAC: Projek pembangunan yang sedang dijalankan berhampiran Hentian Sebelah Nilai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dikenal pasti sebagai punca banjir kilat di lebuh raya itu Khamis lalu.

Susulan kejadian itu, satu mesyuarat khas akan diadakan membabitkan semua agensi berkaitan termasuk pemaju dan pihak lebuh raya bagi membincangkan punca serta langkah penyelesaian.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar, berkata beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) turun ke lokasi semalam bagi meninjau keadaan sebenar.

"Kami meninjau keadaan beberapa projek pembangunan berdekatan Hentian Sebelah Nilai di Lebuhraya PLUS, lokasi berlaku banjir sehingga air masuk ke laluan lebuh raya.

"Hasilnya kami mendapati dua projek pembangunan di kawasan itu dan ia mempunyai kelulusan daripada MBS yang mana perlu mempunyai kolam tadahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemaju sudah menyediakan kolam tadahan dan dalam masa sama menjalankan kerja tanah, namun kolam berkenaan belum berfungsi sepenuhnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar meninjau keadaan beberapa projek pembangunan berdekatan Hentian Sebelah Nilai di Lebuhraya PLUS. Foto Facebook J Arul Kumar

"Kami meminta pemaju untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan lima kolam tadahan di kawasan itu berfungsi dengan baik sebelum melakukan kerja lain," katanya.

Arul Kumar berkata, terdapat juga pembentung (culvert) yang merentasi lebuh raya berkenaan didapati tidak mampu menampung aliran air yang tinggi dan kapasiti perlu disemak semula mengikut keperluan pembangunan di kawasan sekitar.

"Tambahan pula, keadaan sungai di kawasan itu juga perlu dinaiktaraf dan diselenggara secara berterusan supaya insiden yang mengganggu aliran trafik di kedua-dua arah tidak lagi berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama MBS, Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Lembaga Lebuhraya Malaysia, PLUS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta dua pemaju terlibat.

"Ia untuk mengenalpasti semua masalah dengan lebih terperinci dan jalan penyelesaian untuk mengelakkan insiden banjir di Lebuhraya PLUS berulang lagi," katanya.

Khamis lalu, media melaporkan ramai pengguna lebuh raya terpaksa berbuka puasa di atas jalan selepas laluan di kedua-dua arah terhalang akibat banjir kilat yang dikatakan pertama kali berlaku di lokasi berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.