KLANG, 31 MAC: Wanita digesa tampil lebih proaktif menyalurkan aduan dan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pembangunan bandar lebih inklusif dan memenuhi keperluan sebenar komuniti.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata wanita di peringkat komuniti mempunyai kepekaan tinggi terhadap isu setempat seperti kerosakan infrastruktur, keselamatan kawasan awam dan kemudahan asas.
Menurutnya, input daripada perspektif wanita penting dalam membantu PBT merangka dasar serta pelaksanaan pembangunan yang lebih responsif dan berkesan.
“Contohnya jalan berlubang, ramp di tepi longkang, keselamatan di padang permainan atau keselamatan di laluan pejalan kaki. Mereka ini biasa teman anak main di padang, bila mereka melihat dan lebih sedar, mereka boleh salurkan secara konstruktif kepada PBT.
“Contohnya dalam pentadbiran PBT ada kawasan-kawasan mengikut zon dan di situ ada Ahli Majlisnya. Sekiranya pihak PBT mempunyai saluran komunikasi sama ada melalui WhatsApp, emel atau talian telefon, mereka perlu ajukan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Program Jualan Kitar Semula sempena sambutan Bulan Hari Wanita Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Dewan Hamzah di sini, hari ini.

Menurutnya, penting untuk wanita memanfaatkan saluran yang tepat bagi menyampaikan aduan, cadangan serta pandangan demi memastikan tindakan susulan dapat diambil.
“Jadi pada saya mungkin melalui forum-forum atau majlis sebegini kita boleh hebahkan apakah saluran yang sebenar dan sepatutnya kita gunakan untuk menyampaikan aduan, cadangan ataupun input daripada perspektif wanita,” katanya.
Sementara itu, Penaung Program Pembangunan Wanita MBDK Datin Jamaliah berkata MBDK menyediakan taman gender inklusif di Kompleks Sukan Pandamaran bagi mewujudkan persekitaran rekreasi selamat, mesra dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, umur atau keupayaan.
“Penyediaan kemudahan ini mencerminkan komitmen berterusan MBDK dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti serta menyokong prinsip kesaksamaan gender dalam pembangunan bandar,” katanya berucap pada program itu.
Sebelum ini, Datuk Bandar MBDK, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata agenda kelestarian bandar terus diberi keutamaan PBT itu antaranya menerusi penganjuran Majlis Anugerah Komuniti Mampan MBDK.
Menurut Abd Hamid, ia bagi mengimbangi pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).








