SHAH ALAM, 31 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan sebarang penetapan tambang minimum atau siling tanpa persetujuan bersama adalah tidak dibenarkan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya memandang serius pengumuman Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) yang menetapkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, meskipun kerajaan memahami tekanan kos susulan kenaikan harga diesel, sebarang tindakan perlu selaras dengan kerangka perundangan sedia ada.
"Sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan berkenaan penetapan harga, termasuk penetapan tambang minimum atau siling adalah dilarang.
"Ia mengandungi elemen kartel yang menjejaskan pasaran pelancongan negara. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan persatuan-persatuan ini di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010," katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Semalam, MITA mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta bagi membantu operator dan pelancong menyesuaikan diri dengan kenaikan harga diesel.
MITA memaklumkan langkah itu diambil berikutan bas dan van persiaran serta feri tidak dimasukkan dalam mekanisme subsidi diesel negara sejak subsidi pukal dimansuhkan pada 2024.
Kadar tambang bas persiaran kini ditetapkan sehingga RM1,100 bagi siri lawatan dan antara RM1,900 hingga RM2,200 untuk lawatan harian domestik, manakala kos sewaan van pula adalah sehingga RM900 bagi siri lawatan.
Perjalanan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan akan menelan belanja sebanyak RM2,400, manakala perjalanan ke Pulau Pinang dan Ipoh pula berharga RM1,900.
Minggu lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung naik sebanyak 80 sen kepada RM5.52 seliter susulan konflik geopolitik di Asia Barat.








