SHAH ALAM, 31 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman 2026 bagi menggalakkan umat Islam menyediakan wasiat sebelum menunaikan ibadat haji.
Kempen tahunan yang berlangsung mulai esok hingga 20 Mei itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan bakal jemaah haji mengenai kepentingan dokumentasi wasiat serta pelantikan MAIS sebagai wasi sekiranya berlaku kematian ketika bermusafir.
Menurut MAIS, inisiatif itu juga memudahkan umat Islam merancang pengurusan harta secara teratur selaras dengan tuntutan syarak.
Melalui kempen berkenaan, MAIS menawarkan harga promosi serendah RM200 bagi perkhidmatan pelantikan wasi dan penyediaan surat wasiat.
“MAIS menyasarkan tawaran istimewa ini khusus kepada bakal jemaah haji tahun ini (dhuyufurrahman) dan mana-mana individu yang akan menunaikan haji.
“Selain itu, orang ramai yang belum atau telah menunaikan haji tetapi tidak mempunyai wasiat, boleh merebut peluang kempen ini membuat wasiat daripada sekarang. Tawaran ini sah sepanjang tempoh kempen berlangsung,” katanya menerusi Facebook.
Pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Jalinan Ukhuwah Eidulfitri Rakan Strategik MAIS di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Dalam pada itu, MAIS menjelaskan, agensi berkenaan mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi, pentadbir harta pusaka dan pemegang amanah harta orang Islam selaras dengan subseksyen 5(4), Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Menurut MAIS, perkhidmatan tersebut menawarkan pelaksanaan pengurusan dan pembahagian harta pusaka secara telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada benefisiari serta ahli waris.
“Dengan menyediakan wasiat, ia dapat mengurangkan risiko pertikaian pusaka dalam kalangan waris termasuk menggalakkan tindakan segera untuk merancang harta secara patuh syariah, selain mengelakkan berlakunya isu harta pusaka beku,” katanya.
Permohonan wasiat boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi MAIS di https://siswa.mais.gov.my atau dengan mengimbas kod respon pantas (QR) yang disediakan.









