RON95: Kad kredit, debit asing tidak lagi boleh guna di pam

31 Mac 2026, 7:45 AM
RON95: Kad kredit, debit asing tidak lagi boleh guna di pam

SHAH ALAM, 31 MAC: Kad kredit dan debit asing tidak lagi dibenarkan digunakan di pam RON95 bermula esok sebagai langkah mengelakkan penyalahgunaan subsidi bahan api.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan pelaksanaan itu akan dibuat secara berperingkat di stesen minyak seluruh negara.

Menurut kenyataan di Facebook, pengguna kad asing masih boleh melakukan transaksi, namun hanya dibenarkan di kaunter.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan subsidi RON95 tidak disalah guna atau diseleweng,” menurut kenyataan itu.

KPDN berkata pendekatan tersebut juga bertujuan memperkemas kawalan penyaluran subsidi agar lebih bersasar kepada golongan yang layak.

Pada 24 Mac lalu, Media Selangor melaporkan KPDN Johor membuka siasatan terhadap kes pengisian petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti besar yang tular di media sosial.

Dalam kenyataan, KPDN memaklumkan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Skudai mendapati berlaku dua transaksi berasingan melibatkan kenderaan sama.

Hasil semakan awal mendapati satu pengisian dibuat ke dalam tangki kenderaan, manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but dengan kuantiti melebihi had dibenarkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.