BDR Selangor bersifat fleksibel, fokus jimat bahan api dan tenaga – MB

31 Mac 2026, 6:57 AM
BDR Selangor bersifat fleksibel, fokus jimat bahan api dan tenaga – MB
BDR Selangor bersifat fleksibel, fokus jimat bahan api dan tenaga – MB
BDR Selangor bersifat fleksibel, fokus jimat bahan api dan tenaga – MB

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri menegaskan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) tidak dilaksanakan secara menyeluruh, sebaliknya menggunakan pendekatan fleksibel mengikut keperluan semasa bagi mengimbangi operasi kerja dengan usaha menjimatkan penggunaan bahan api dan bekalan tenaga.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan awal BDR akan memulakan dengan struktur Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pihak lain.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 31 Mac 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Pelaksanaan ini tidak dibuat secara menyeluruh, sebaliknya kita akan lihat secara keseluruhan dan laksanakan mengikut keperluan dengan jadual tertentu atau fleksibiliti tertentu.

"Yang penting, kita mahu kurangkan tekanan penggunaan petrol dan gas, tetapi dalam masa sama kekalkan produktiviti kerja,” katanya ketika mengulas cadangan BDR susulan konflik Asia Barat pada Majlis Townhall X Wanita Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Amirudin menambah, jika sektor swasta berminat melaksanakan pendekatan sama, ia tidak menjadi masalah. Namun, pelan masih dalam peringkat penyediaan dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebelum diumumkan.

“Kita akan mulakan dengan keseluruhan struktur Kerajaan Negeri dahulu. Bahagian Sumber Manusia Negeri kini sedang menyiapkan pelan pelaksanaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebarang pelaksanaan BDR akan mengambil kira keseimbangan antara kecekapan perkhidmatan dan kebajikan pekerja bagi mengelakkan bebanan yang tidak perlu.

Sebelum ini, kerajaan turut mempertimbangkan langkah tambahan termasuk menetapkan peraturan kerja lebih anjal seperti pelaksanaan BDR secara berperingkat bagi penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam sambil menyesuaikan kaedah kerja dengan keperluan semasa.

Kerajaan dijangka mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar, Premier dan Ketua Menteri esok bagi menyelaras langkah menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan susulan konflik di Asia Barat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.