Tiada rundingan terus dengan Washington setakat ini - Jurucakap Kementerian Luar Iran

31 Mac 2026, 5:28 AM
Tiada rundingan terus dengan Washington setakat ini - Jurucakap Kementerian Luar Iran

TEHRAN, 31 MAC: Jurucakap Kementerian Luar Iran pada Isnin menegaskan Iran tidak mengadakan sebarang rundingan terus dengan Amerika Syarikat (AS) setakat ini, selain menyifatkan dakwaan bahawa Tehran bersetuju dengan cadangan Washington sebagai tidak berasas, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

Bercakap dalam sidang media mingguan, Esmaeil Baghaei menjawab dakwaan Presiden AS Donald Trump yang menyatakan bahawa Iran telah menerima cadangan daripada pihak AS.

Beliau menegaskan bahawa pendirian Iran kekal konsisten sejak awal, iaitu menolak tuntutan melampau dan tidak munasabah yang disampaikan melalui perantara.

Baghaei menyatakan bahawa sehingga kini, Iran tidak mengadakan sebarang rundingan secara langsung dengan AS.

Beliau menjelaskan bahawa apa yang dibincangkan hanyalah mesej yang diterima melalui pihak ketiga yang menunjukkan keinginan AS untuk mengadakan rundingan.

Menurut jurucakap itu lagi, Iran sentiasa jelas mengenai rangka kerja yang dimahukan dan menyifatkan cadangan yang disampaikan itu sebagai keterlaluan serta tidak munasabah.

Mengenai mesyuarat di Pakistan, Baghaei berkata rundingan berkenaan dikendalikan di bawah rangka kerja yang ditetapkan oleh Pakistan sendiri dan Iran tidak terlibat sebagai peserta.

Walaupun beliau menyambut baik keprihatinan negara serantau untuk menamatkan peperangan, beliau menegaskan bahawa pihak penceroboh mesti dikenal pasti.

Baghaei turut menyatakan bahawa Iran tidak seharusnya diharapkan untuk bertindak balas secara sendirian memandangkan negara itu menjadi mangsa serangan dan bukannya pemula konflik.

Beliau berkata memandangkan pencerobohan masih berterusan, usaha Iran tetap tertumpu kepada mempertahankan kedaulatan negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.