SHAH ALAM, 30 MAC: Seramai 200,000 penerima baharu diluluskan di bawah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2, dengan bayaran mula disalurkan hari ini.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan penambahan itu sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan.
“Kerajaan MADANI sentiasa memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban kewangan penerima serta memberi kelegaan kepada isi rumah.
“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan kepada anda dan keluarga,” katanya.

Orang ramai turut digalakkan menyemak serta mengemas kini status masing-masing melalui portal rasmi di bantuantunai.hasil.gov.my.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memaklumkan bayaran STR Fasa 2 diawalkan dan mula dikreditkan secara berperingkat bagi membantu rakyat membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Menurut beliau, pembayaran itu memanfaatkan 5.2 juta penerima dengan peruntukan RM1.3 bilion, termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan.
Secara keseluruhan, bantuan berkenaan melibatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tanpa pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.








