SHAH ALAM, 27 MAC: Malaysia mempunyai bekalan minyak yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei tahun ini, dan tiada catuan seperti yang dilaksanakan oleh negara jiran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memantau bekalan tenaga setiap hari susulan ketegangan di Asia Barat yang memberi kesan kepada pasaran global.
“Kita sekali lagi bersyukur kepada Allah SWT kerana masalah yang kita hadapi ini tidak serumit yang dihadapi oleh banyak negara jiran.
“Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian kerana dalam perbincangan semalam, beliau telah mengarahkan supaya langkah-langkah segera diambil bagi melepaskan kapal-kapal minyak Petronas dan syarikat Malaysia yang melintasi Selat Hormuz,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan langkah baru iaitu penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April ini.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan harga RON95 bersubsidi serta diesel bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM1.99 seliter dan RM2.15 seliter.
Anwar menambah, kerajaan turut mengambil langkah alternatif lebih awal dan tidak hanya bergantung kepada jaminan bekalan semasa.
“Setakat ini Mei (bekalan) masih mencukupi, tetapi kita juga mencari jalan lain. Ini kerana pelaburan Petronas adalah pelbagai bukan sahaja di negara Teluk, tetapi juga di Brazil, Suriname dan Kanada.
“Kerajaan mencari jalan supaya dapat pulangan dan hasil yang optimum di sini serta memenuhi keperluan tempatan. Setakat ini, alhamdulillah, jika dilihat keadaan gawat di beberapa negara sekeliling, kita harus bersyukur dan jangan terlalu leka atau terlalu sibuk dengan soal politik, tetapi tumpu untuk membela nasib rakyat dan negara,” tegasnya.
Ditanya mengenai cadangan pembangkang supaya sidang khas Parlimen diadakan, Anwar berkata perkara itu akan diteliti selepas taklimat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada minggu depan.
“Kita bincang dulu dengan Menteri Besar dan pimpinan parti. Sidang khas Parlimen itu biar ada perancangan konkrit tentang bagaimana kita mengatasi situasi ini. Kemudian, bila rancangan sudah ada, kita boleh bincangkan secara menyeluruh,” ujarnya.










