SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan akan menyelaras had kelayakan petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi mengurus penggunaan bahan api secara lebih berhemah susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Menurut beliau, walaupun had penggunaan diselaraskan, harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat.
“Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter. Purata penggunaan oleh rakyat BUDI95 adalah 100 liter dan kita 90 peratus rakyat tidak akan terkesan.
“Bagi pekerja e-hailing dan pekerja gig, kita kekalkan had siling sehingga 800 liter kerana mengambil kira tanggungjawab dan pekerjaan mereka, serta urusan yang mereka harus lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas berhubung langkah strategik negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat, hari ini.

Jelas beliau lagi, penyelarasan itu bersifat sementara sehingga bekalan minyak kembali stabil dan ekonomi global pulih.
Bagi Sabah dan Sarawak pula, Anwar berkata kedua-dua negeri itu akan terus menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter dengan pelaksanaan kawalan pengisian bagi mengekang ketirisan.
Menurutnya, bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian, had maksimum pembelian ditetapkan sebanyak 50 liter bagi setiap transaksi.
“Manakala kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan, maksimum 100 liter setiap pembelian; dan kenderaan melebihi tiga tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.
“Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua,” katanya.
Anwar turut mengingatkan agensi penguatkuasaan supaya memperketat pemantauan bagi membanteras penyeludupan bahan api yang boleh merugikan negara.
Beliau pada masa sama menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang membantu melaporkan sebarang penyelewengan subsidi kepada pihak berkuasa.









