SHAH ALAM, 27 MAC: Selepas sembilan bulan bertarung nyawa, seorang anggota polis akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat kemalangan langgar lari yang berlaku Jun tahun lalu.
Koperal Mohd Fairus Khamis, 42, meninggal dunia di kediamannya di Bandar Seri Sendayan pada jam 6.10 pagi Selasa lalu selepas terlantar dalam keadaan koma.
Allahyarham yang bertugas di Cawangan Tugas Am, Balai Polis Rahang sebelum ini parah selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar lari.
Kejadian berlaku pada Jun tahun lalu kira-kira jam 7.55 pagi di Jalan Bukit Nenas ketika mangsa dalam perjalanan dari Sendayan menuju ke Sungai Ujong.
Allahyarham meninggalkan isteri Koperal Rozalina Jaafar dan dua anak berusia lima dan 12 tahun.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff hadir menziarahi Allahyarham di Masjid Sheikh Hj Ahmad Sendayan serta Tanah Perkuburan Islam Ainsdale.
Dalam kunjungan tersebut, Mohd Nasharudin turut menyampaikan sumbangan pendahuluan khairat kematian RM1,000 daripada Tabung Kebajikan Sosial.








