Jualan Ehsan Rahmah kembali esok di empat lokasi

25 Mac 2026, 1:30 PM
Jualan Ehsan Rahmah kembali esok di empat lokasi

SHAH ALAM, 25 MAC: Program Jualan Rahmah Madani kembali esok di empat lokasi sekitar Selangor dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu dijadualkan berlangsung pada dua sesi iaitu pagi dan petang.

Bagi sesi pagi dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari, jualan akan diadakan di tiga lokasi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang (Tapak Pasar Malam Kampung Raja Uda), DUN Sekinchan (Masjid Jameul Huda Parit 7 Ban 2) dan DUN Tanjung Sepat (Ruang Parkir Luar SK Tanjung Sepat).

Sementara itu, sesi petang dari jam 3.30 hingga 6.30 petang akan berlangsung di DUN Sementa di Dewan Orang Ramai Kampung Jalan Palembang.

Senarai lokasi program Jualan Ehsan Rahmah Madani pada 26 Mac 2026.

Program Jualan Rahmah Madani merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah sekali gus meringankan kos sara hidup.

Antara barangan yang ditawarkan ialah ayam seekor (RM10), daging pejal (RM10/pek), telur jenis B (RM9 sepapan), ikan (RM6.50/pek), minyak masak dua kilogram (RM10) dan beras lima kilogram (RM12).

Turut dijual ialah tepung (RM2), sardin (RM5.50), bihun (RM2.50), biskut jagung (RM3), sabun cuci baju (RM14) dan lampin bayi pakai buang (RM8).

Sebelum ini, PKPS memaklumkan program berkenaan bercuti sempena Aidilfitri dari 19 hingga 25 Mac sebelum operasi jualan disambung semula esok bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta memberi ruang kepada petugas menyambut perayaan.

Pada 2023, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti susulan kejayaan mengendalikan pelbagai inisiatif termasuk program JER.

Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menganjurkan jualan bersubsidi terbesar di negara ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.