SHAH ALAM, 25 MAC — Penemuan bangkai ikan dan air berbuih di Sungai Penchala, kelmarin dipercayai berpunca daripada aliran sisa dari kawasan perindustrian berhampiran.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan pemantauan segera dilaksanakan di lokasi termasuk penggunaan dron bagi mengenal pasti kawasan berisiko di sekitar sungai berkenaan.
"Susulan penemuan kejadian air berbuih serta beberapa bangkai ikan di Sungai Penchala kelmarin, pihak LUAS telah menjalankan siasatan dengan segera di lokasi.
"Hasil siasatan awal mendapati insiden tersebut disyaki berpunca daripada aliran kawasan perindustrian di sekitar Sungai Penchala," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pensampelan kualiti air turut dijalankan dan sampel telah dihantar ke Makmal LUAS untuk analisis lanjut.
LUAS turut memaklumkan semakan lanjut akan dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengenal pasti sebarang aktiviti berhampiran yang berpotensi menyumbang kepada insiden tersebut.
Dalam masa sama, pihaknya sedang dalam proses mengeluarkan Notis Pematuhan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) kepada premis di kawasan terlibat sebagai langkah kawalan serta pencegahan jangka panjang.








