Krisis Asia Barat: Malaysia siap sedia hadapi risiko ekonomi dan keselamatan

25 Mac 2026, 12:06 AM
Krisis Asia Barat: Malaysia siap sedia hadapi risiko ekonomi dan keselamatan

SHAH ALAM, 25 MAC: Kerajaan Malaysia meningkatkan tahap kesiapsiagaan nasional susulan perkembangan konflik di Asia Barat yang berpotensi memberi implikasi keselamatan dan ekonomi kepada negara.

Perkara itu dibincangkan dalam Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, dengan fokus utama terhadap situasi semasa di Timur Tengah yang berlarutan sejak empat minggu lalu.

Menurut kenyataan media MKN, Malaysia menyambut baik perkembangan mutakhir apabila pihak terlibat bersetuju menghentikan serangan selama lima hari, sekali gus membuka ruang kepada rundingan damai yang lebih serius dan ikhlas.

“Perkembangan ini turut menyumbang kepada penyusutan harga minyak antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan negara perlu terus bersiap siaga menghadapi kemungkinan konflik berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Sehubungan itu, pendekatan menyeluruh dan terselaras akan dilaksanakan, termasuk susulan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Khas yang dijadual berlangsung hari ini.

Dalam masa sama, Malaysia akan terus memainkan peranan proaktif dalam usaha mencari penyelesaian konflik berkenaan.

Perdana Menteri bersama Menteri Luar Negeri serta agensi keselamatan dilaporkan telah mengadakan hubungan rapat dengan pemimpin antarabangsa, termasuk New Zealand, Jepun, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.

Malaysia juga dilihat mempunyai kedudukan strategik dalam isu ini apabila menjalin hubungan baik dengan kebanyakan pihak utama, selain mengekalkan pendirian yang konsisten dan terbuka.

Selain aspek geopolitik, sidang turut membincangkan isu keselamatan dalam negara termasuk aktiviti perisikan asing, pencegahan penyeludupan bahan api serta kesiapsiagaan pasukan pengaman Malaysia (MALBATT) yang kini bertugas di Lubnan.

Kerajaan menegaskan akan terus mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan keselamatan negara kekal terpelihara dan kebajikan rakyat sentiasa terbela dalam menghadapi situasi global yang mencabar ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.