Amaran cuaca panas ketika raya: Aktiviti luar boleh undang strok haba

24 Mac 2026, 8:00 AM
Amaran cuaca panas ketika raya: Aktiviti luar boleh undang strok haba

SHAH ALAM, 24 MAC: Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap cuaca panas, khususnya sepanjang musim perayaan yang melibatkan lebih banyak aktiviti luar.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata orang ramai perlu mendapatkan maklumat terkini mengenai cuaca panas, terutama ketika Aidilfitri apabila aktiviti ziarah dan pergerakan meningkat.

Beliau turut menasihatkan agar aktiviti luar dihadkan dan tidak dilakukan terlalu lama ketika suhu tinggi bagi mengelakkan risiko strok haba dan dehidrasi.

“Pantau maklumat cuaca panas dari semasa ke semasa, terutama ketika musim perayaan yang melibatkan banyak aktiviti luar.

“Elakkan berada di luar terlalu lama ketika suhu tinggi bagi mengurangkan risiko strok haba dan dehidrasi,” katanya kepada Media Selangor.

Jamaliah yang juga EXCO Alam Sekitar menegaskan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana boleh memburukkan cuaca panas dan menjejaskan kualiti udara.

“Pembakaran terbuka adalah kesalahan serius di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 [Akta 127].

“Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai tidak melakukan pembakaran di kawasan perumahan, pertanian atau lapang.

Sebarang kejadian boleh dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di talian 1-800-88-2727 atau melalui aplikasi eAduan JAS.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menggesa orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap cuaca panas melampau susulan peningkatan kes berkaitan strok haba di negara ini.

Menurutnya, sepanjang tahun ini sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas telah direkodkan termasuk satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.