SHAH ALAM, 24 MAC: Sebanyak 17 daerah di utara Semenanjung kini berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga) susulan peningkatan cuaca panas berterusan sejak beberapa hari lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat merangkumi beberapa daerah di Kedah iaitu Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Selain itu, kawasan lain termasuk Timur Laut dan Daerah Utara di Pulau Pinang; Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak; Jerantut dan Raub di Pahang serta Kuala Lumpur.

Perkembangan itu menunjukkan peningkatan jumlah kawasan terjejas susulan keadaan cuaca panas yang berterusan.
Dalam kemas kini terbaharu, tiga lagi kawasan di Kedah iaitu Pendang, Pokok Sena dan Baling kini berada pada Tahap 2 (gelombang haba), dengan suhu maksimum antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengurangkan aktiviti luar serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi MetMalaysia.








