SHAH ALAM, 24 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap 14,455 kenderaan daripada 172,479 yang diperiksa dalam Operasi Hari Raya Aidilfitri 2026 (Ops HRA 2026) setakat semalam.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Aedy Fadly Ramli berkata sebanyak 289 kenderaan turut disita termasuk 43 kenderaan barangan yang ingkar larangan pemanduan.
“Sehingga 23 Mac 2026, sebanyak 172,479 kenderaan telah diperiksa di seluruh negara dengan 14,455 diambil tindakan dan 289 kenderaan disita termasuk 43 kenderaan barangan yang ingkar larangan pemanduan (roadban),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Kawalan Terowong Meru Menora, Ipoh malam tadi.
Menurutnya, tiga kesalahan tertinggi yang direkodkan sepanjang operasi ialah tidak memakai tali pinggang keledar (761 kes), diikuti kesalahan lebih muatan (353 kes) dan tidak mematuhi isyarat lalu lintas (317 kes).
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan, Timbalan Pengarah JPJ Perak Mohd Azmi Jaafar serta pegawai kanan JPJ.







