Sekolah Dalam Hospital diperluas, lebih 400,000 murid terima manfaat

24 Mac 2026, 3:01 AM
Sekolah Dalam Hospital diperluas, lebih 400,000 murid terima manfaat

SHAH ALAM, 24 MAC: Lebih 400,000 murid mendapat manfaat daripada program Sekolah Dalam Hospital (SDH), sekali gus memastikan mereka tidak tercicir dalam pembelajaran walaupun sedang menerima rawatan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sebanyak 20 program SDH kini beroperasi di seluruh negara sejak inisiatif itu diperkenalkan pada 2011.

Menurutnya, bagi memastikan kesinambungan pembelajaran, KPM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melaksanakan inisiatif SDH.

“Akses pendidikan terbaik adalah hak setiap insan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memenuhi keperluan semua segmen murid termasuk yang berada di hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, peluasan program itu terus dipergiat, dengan pelaksanaan terbaharu di Hospital Seberang Jaya yang menjadi lokasi pertama di Pulau Pinang.

"Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam memperluas akses pendidikan secara inklusif kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Sebagai rekod, antara hospital yang melaksanakan program SDH termasuk Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Selayang.

Selain itu, program sama turut dilaksanakan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah; Hospital Sultanah Nur Zahirah; Hospital Pakar Sultanah Fatimah; Hospital Sultanah Aminah; Hospital Umum Sarawak; Hospital Tawau serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Program ini diperkenalkan secara berperingkat sejak 2011 dan terus diperluas ke seluruh negara bagi memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua murid tanpa mengira keadaan kesihatan.

Tambah beliau, usaha itu turut selari dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang memberi penekanan terhadap peningkatan akses pendidikan berkualiti.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.