SHAH ALAM, 24 MAC: Risiko penyakit berkaitan haba dan dehidrasi dijangka meningkat susulan cuaca panas melampau ketika ini, dengan orang ramai dinasihatkan lebih peka terhadap tanda awal serta mengambil langkah pencegahan.
Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Pakar Ampang Puteri, Prof Madya (K) Dr Shahrul Nizam Ahmad Zamzali berkata, suhu semasa kini mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius dan ada kawasan mencapai sehingga 40 darjah Celsius.
"Terdapat peningkatan suhu ketika ini dan kita memang nampak keadaan lebih panas daripada biasa, malah ada tempat mencecah sehingga 40 darjah Celsius," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata, keadaan itu boleh membawa kepada dua isu utama kesihatan iaitu penyakit berkaitan haba dan dehidrasi atau kekurangan air dalam badan.
Menurutnya, antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk sakit kepala yang melampau, peluh berlebihan atau tidak berpeluh dan suhu badan tinggi.
"Antara tanda bahaya lain adalah apabila seseorang itu menunjukkan penurunan tahap kesedaran, seperti sudah meracau atau bercakap tidak seperti biasa selain muntah-muntah dan cirit-birit," katanya.

Dr Shahrul menambah, golongan berisiko termasuk warga emas berusia lebih 65 tahun, kanak-kanak bawah lima tahun, pesakit jantung dan kencing manis, individu dengan masalah mental serta mereka yang bekerja di luar.
"Golongan ini mungkin kurang berupaya untuk beradaptasi dengan cuaca panas dan keadaan ini boleh memberi tekanan kepada organ penting dalam badan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat memberi tumpuan kepada dua aspek utama iaitu pencegahan dan pemerhatian bagi mengurangkan risiko kesihatan.
Dari segi pencegahan, orang ramai disaran memastikan pengambilan air mencukupi, berada di tempat redup serta mengelakkan aktiviti luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang.
"Jika boleh, elakkan aktiviti luar antara jam 11 pagi hingga 4 petang kerana pada waktu ini cuaca sangat panas. Selain itu, pemakaian pakaian ringan dan mudah bernafas juga digalakkan bagi membantu proses penyejukan badan," katanya.
Bagi aspek pemantauan pula, beliau menyarankan orang ramai memerhati warna air kencing sebagai indikator tahap hidrasi selain memberi perhatian kepada tanda keletihan melampau dan peluh berlebihan.
"Pastikan air kencing tidak terlalu pekat atau berwarna kuning, dan jika mengalami keletihan, banyakkan minum air serta berehat," jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berdekatan sekiranya mengalami gejala berkaitan cuaca panas.
"Semoga langkah pencegahan dan pemantauan kendiri dapat membantu masyarakat menyambut Aidilfitri dalam keadaan sihat," katanya.
Semalam, daerah Pendang, Pokok Sena dan Baling di Kedah dilanda gelombang haba atau cuaca panas tahap dua, dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah celsius.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan, sebanyak 15 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu atau berjaga-jaga selepas merekodkan suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah celsius.
"Ini membabitkan kawasan Perlis, Kedah iaitu Sik, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta Timur Laut dan Utara Pulau Pinang.
"Amaran sama dikeluarkan bagi Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak termasuk Kuala Lumpur," katanya.








