KUALA SELANGOR, 23 MAC: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum melanggar pondok menunggu bas dan terjunam ke dalam parit di simpang Jalan Suara, Tambak Jawa, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, panggilan kecemasan diterima pada jam 6.32 pagi. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hafizi Wahidin bersama lima anggota.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar pondok menunggu bas dan terjatuh ke dalam parit berhampiran,” menurut kenyataan di Facebook JBPM Selangor.
Pihak bomba mendapati seorang lelaki berbangsa Melayu berusia lingkungan 30-an tersepit di dalam kenderaan.
Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.












