Anasir ancam perpaduan mesti dibanteras tanpa kompromi - Agong

21 Mac 2026, 1:29 AM
Anasir ancam perpaduan mesti dibanteras tanpa kompromi - Agong

SHAH ALAM, 21 MAC: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

Baginda bertitah, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan kebencian, ketegangan atau perpecahan dalam masyarakat.

“Saya juga ingin mengulangi nasihat yang diberikan dalam perutusan Hari Raya tahun lalu, tetapi nampaknya ramai yang lupa atau buat tidak endah iaitu sebarang anasir yang mengancam perpaduan rakyat mesti dibanteras tanpa kompromi,” titah baginda dalam Perutusan Aidilfitri 2026.

Baginda turut mengingatkan bahawa pengurusan isu sensitif perlu dilaksanakan secara berhemah, tepat dan tegas agar tidak menghakis kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.

“Pengurusan isu-isu sensitif oleh pihak berkuasa juga mesti berhemah dan mengambil kira semua aspek berkaitan, serta tiada ruang untuk kesilapan.

“Tunjukkan tindakan yang diambil itu benar, tegas dan tepat agar tidak menghakis kepercayaan kepada pentadbiran negara,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda menyeru rakyat Malaysia supaya menjunjung prinsip Rukun Negara, khususnya nilai kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan seharian.

Menurut baginda, sikap tidak beradab serta tindakan tidak sensitif termasuk di tempat ibadah boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk.

“Kita tidak boleh terima orang yang kurang ajar, sama ada antara kaum masyarakat yang berbeza, mahupun dalam kalangan satu jenis kaum itu sendiri,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap insiden yang menyentuh sensitiviti agama dan negara, termasuk penyalahgunaan kalimah suci, penghinaan simbol negara serta kenyataan berunsur kebencian.

Selain itu, baginda mengingatkan rakyat supaya terus bersatu padu dan menghargai keamanan negara.

“Ingin saya ingatkan kepada semua akan pepatah ‘Bersatu Teguh, Bercerai Roboh’ — tatkala negara lain mengalami peperangan, kita harus bersyukur dengan keamanan yang sedang kita nikmati,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menyeru rakyat agar terus membantu golongan memerlukan serta mengekalkan amalan baik sepanjang Ramadan.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut mendoakan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara, di samping mengingatkan orang ramai agar berhati-hati di jalan raya sepanjang musim perayaan.

“Berhati-hatilah di jalan raya dan makan dengan berhemah. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” titah baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.