GEORGE TOWN, 24 SEPT: Isu pendapatan dan gaji rakyat perlu terus diberi keutamaan dalam merangka Belanjawan 2027, seiring dengan usaha kerajaan bagi memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara itu penting supaya peningkatan produktiviti dan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan boleh diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta gaji yang lebih bermakna.
“Maka sebab itu kita melihat bahawa sudah sampai masanya perbincangan ataupun diskusi berkaitan pendapatan ataupun gaji terus diletakkan sebagai keutamaan.
“Dalam kita merancang Belanjawan 2027 ini, soal pendapatan itu perlu juga datang bersekali dengan keupayaan syarikat,” katanya dalam sidang media di majlis Program KL20@Penang 2026: Silicon Surge di Pusat Konvensyen Penang Waterfront (PWCC).
Akmal Nasrullah berkata penyaluran dana kepada Pulau Pinang untuk pembangunan Kampus Automation, Testing and Equipment (ATE) di Batu Kawan juga merupakan antara usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan syarikat tempatan, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih bermakna kepada rakyat.
Katanya kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembinaan kampus itu dalam usaha memperkukuh ekosistem semikonduktor di negeri berkenaan.
Sementara itu, Akmal Nasrullah berkata cabaran harga minyak yang masih tinggi dan prospeknya yang tidak menentu juga perlu diambil kira dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan pembangunan negara serta kebajikan ekonomi rakyat terus dapat dipelihara.
“Dari segi pengumuman ataupun belanjawan yang akan dibentangkan tidak lama lagi, saya dapat jangkakan bahawa ini antara perkara-perkara yang mana Menteri Kewangan akan beri perhatian supaya dalam keadaan harga minyak masih tinggi dan juga penghujungnya masih tidak menentu, negara masih boleh terus merancang soal pembangunan dan kebajikan,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan menyediakan tanah di Batu Kawan untuk pembangunan Kampus ATE berkenaan.
Beliau berkata inisiatif itu susulan usaha negeri untuk memperkukuh sektor reka bentuk cip menerusi Penang Silicon Design@5KM+ yang dimulakan sejak dua tahun lalu.
Katanya, selain pembangunan Kampus ATE, Pulau Pinang turut menyediakan dana teknologi berjumlah RM50 juta sebagai langkah awal membantu syarikat pemula niaga dan syarikat yang mahu berkembang mendapatkan akses kepada modal.
"Kita berharap dana ini akan menjadi lebih besar dengan penyertaan pihak selain dari Pulau Pinang supaya ada satu dana yang membolehkan syarikat pemula niaga dan syarikat-syarikat di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia mendapat akses kepada modal yang penting untuk mereka melangkah ke peringkat yang seterusnya," katanya.
Beliau berkata Kampus ATE itu akan menjadi platform pembangunan bakat, kelayakan teknologi serta pembangunan bersama, pengujian dan penggunaan penyelesaian ATE buatan Malaysia.







