SHAH ALAM, 19 MAC: Dato’ Menteri Besar menyantuni petugas enam agensi termasuk barisan hadapan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka yang tetap bertugas pada pagi Syawal.
Dato’ Seri Amirudin Shari memulakan program Singgah Syawal di KDEB ICI Sdn Bhd sebelum meneruskan kunjungan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik serta Penjara Sungai Buloh, sambil menyampaikan juadah Aidilfitri termasuk lemang dan rendang.

Kunjungan itu turut melibatkan Loji Rawatan Air North Hammock, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan berakhir di Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang.
“Kebanyakan mereka bertugas sepanjang minggu pertama Aidilfitri. Mereka memastikan kelancaran beberapa aspek, contohnya KDEB ICI yang menguruskan sisa pepejal dan kebersihan.
“Bomba pula bertanggungjawab terhadap kejadian kecemasan seperti banjir atau kebakaran, manakala AKPS mengawal sempadan negara,” katanya ketika ditemui selepas melawat KDEB ICI Sdn Bhd malam ini.

Sementara itu, ketika di BBP Kota Anggerik, Amirudin sempat melawat bilik gerakan operasi dan melihat gerak kerja pasukan keselamatan terbabit.
Beliau juga turut mengambil kesempatan membuat ucapan penghargaan serta Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua 38 BBP seluruh Selangor menggunakan sistem pemancar radio.










