SHAH ALAM, 22 OKT: Dua individu rentung selepas kereta dinaiki mereka merempuh pokok dan terbakar dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Tanjung Balau menuju Sedili, berhampiran Kota Tinggi awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.48 pagi sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 17 kilometer.
“Sebaik tiba pada jam 4.58 pagi, pasukan mendapati sebuah Toyota Vios terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan terbakar hampir 93 peratus.
“Mangsa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang lagi wanita dewasa terperangkap di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 6.11 pagi.
"Kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.