MBDK hargai inisiatif CSR Centro Mall, santuni 80 anak kurang bernasib baik

17 Mac 2026, 7:32 AM
MBDK hargai inisiatif CSR Centro Mall, santuni 80 anak kurang bernasib baik

SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 80 anak yatim dan kanak-kanak berkeperluan khas diraikan dalam majlis berbuka puasa anjuran Centro Mall dengan kerjasama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat MBDK, Norfiza Mahfiz berkata pihaknya menghargai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk di Klang.

“Kolaborasi antara pihak swasta, pihak polis, dan MBDK dalam majlis yang diadakan ini merupakan manifestasi semangat perpaduan yang sangat jitu di Bandaraya Diraja Klang.

“Sinergi seperti inilah yang kita perlukan bagi memastikan keharmonian sosial di bandar raya kita terus terpelihara,” katanya mewakili Datuk Bandar ketika berucap dalam majlis berkenaan yang berlangsung di pusat beli-belah itu.

Dalam majlis sama, Centro Mall turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,500 kepada lima pusat jagaan dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi menceriakan penghuni menjelang Aidilfitri.

Penerima sumbangan itu ialah Pusat Jagaan Haneen Firdous, Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Sayang, Pertubuhan Kebajikan & PDK Kota Raja Klang, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih Selangor dan Madrasah Ulumulquran Wal Ahadith.

Norfiza turut menasihatkan anak-anak yang diraikan agar terus bersemangat dalam menuntut ilmu serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami di peringkat MBDK akan sentiasa berusaha menyediakan persekitaran bandar raya yang inklusif dan mesra untuk anda semua membesar dengan sempurna,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.