SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri sedang berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kesan konflik Asia Barat dan ketidaktentuan ekonomi dunia terhadap rakyat. Namun, orang ramai juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan disiplin kewangan serta mengelakkan pembaziran.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor V Papparaidu berkata Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, kestabilan bekalan dan bantuan kepada golongan memerlukan susulan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Sebanyak RM131 juta diperuntukkan (menerusi Pakej Peningkatan Ketahanan Selangor) bagi program bantuan melibatkan keperluan asas, khususnya sokongan bekalan makanan untuk komuniti berpendapatan rendah.
“Kami memberi fokus kepada keperluan paling asas seperti keselamatan makanan kerana tidak mahu berlaku kekurangan atau gangguan bekalan,” katanya kepada Media Selangor selepas menghadiri majlis pelancaran Program Bantuan Transformasi Peniaga Kecil Selangor semalam.
Papparaidu berkata Kerajaan Negeri turut memastikan bekalan makanan mencukupi sehingga enam bulan, selain meneruskan program bantuan kepada nelayan, pengguna pengangkutan awam dan komuniti B40.

Antara inisiatif yang diperkenalkan di bawah pakej itu ialah subsidi RM30 kepada pengguna pengangkutan awam serta program Jualan Ehsan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan pada harga 15 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
“Kerajaan kekal komited memastikan harga makanan terus terkawal walaupun berdepan ketidaktentuan akibat konflik antarabangsa dan keadaan ekonomi yang tidak stabil.
“Pada masa sama, rakyat juga perlu membantu dengan mengawal perbelanjaan, mengelakkan pembelian tidak perlu dan mengurangkan amalan pembaziran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata krisis global ketika ini menunjukkan Malaysia perlu memikirkan semula strategi tenaga jangka panjang dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Menurutnya, pandemik Covid-19 dan konflik geopolitik semasa memberi pengajaran penting tentang keperluan menyesuaikan diri, membuat persediaan dan memastikan kelestarian ekonomi.
“Negara seperti China telah membuat persediaan lebih awal melalui pelaburan dalam teknologi kenderaan elektrik dan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar,” katanya.









