SUNGAI BULOH, 15 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk kira-kira RM50,000 kepada Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah di sini bagi program Ihya Ramadan serta penyaluran dana projek sistem solar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Dato’ Ts. Saipolyazan M Yusop berkata sumbangan melibatkan RM20,000 bagi dana projek sistem solar dan selebihnya adalah sumbangan program asnaf meliputi duit raya, program Ramadan masjid dan bakul makanan.
“Ini sebahagian daripada peruntukan kami tahun ini dalam program Ihya Ramadan berjumlah RM4 juta untuk seluruh Selangor melibatkan pelbagai sumbangan termasuk bakul makanan, duit raya dan juga untuk membangunkan solar.
“Penggunaan sistem solar di masjid ini boleh mengurangkan pembayaran bil elektrik yang kini kira-kira RM4,500 sebulan kerana masjid ini aktif menganjurkan pelbagai program sekali gus mengurangkan perbelanjaan operasi.

“Kita harap makin banyak syarikat ataupun badan menyumbang untuk menjayakan projek solar ini yang juga menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh amalan ESG serta memperluas penggunaan tenaga hijau di premis masjid,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada asnaf kariah Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras, hari ini.
Sementara itu, Nazir Masjid Jamiul Ehsan, Anuar Md Zain berkata projek pemasangan sistem solar di masjid berkenaan merupakan inisiatif yang sudah dirancang sejak lima tahun lalu namun tidak dapat dilaksanakan ketika itu berikutan beberapa kekangan teknikal.
Menurutnya kos keseluruhan projek berkenaan dianggarkan RM300,000 dan berharap ia dapat dijadikan projek rintis yang berpotensi menjadi model kepada pembangunan penggunaan tenaga solar di masjid seluruh Selangor.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu bukan sahaja memberi penjimatan kos kepada pengurusan masjid, malah memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
“Ketika ini kos elektrik masjid boleh mencecah hampir RM60,000 setahun terutama dengan peningkatan kekerapan program yang dijalankan.

“Dengan pemasangan sistem solar ini, ROI (pulangan pelaburan) dijangka dapat semula dalam tempoh empat hingga lima tahun, manakala jangka hayat penggunaan sistem tersebut boleh mencecah sehingga 30 tahun,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan projek itu bukan sahaja memberi penjimatan kos kepada pengurusan masjid, malah memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat setempat serta menyokong usaha kelestarian alam sekitar.
Sebelum ini, Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata RM4 juta diperuntuk tahun ini bagi menjayakan program Ihya Ramadan yang merangkumi pelbagai aktiviti pengimarahan Ramadan termasuk penyaluran sumbangan duit raya kepada golongan memerlukan.











