Bukan sekadar jualan, Havoc Raya Fest rancakkan ekosistem perniagaan

15 Mac 2026, 2:10 AM
Bukan sekadar jualan, Havoc Raya Fest rancakkan ekosistem perniagaan
Bukan sekadar jualan, Havoc Raya Fest rancakkan ekosistem perniagaan
Bukan sekadar jualan, Havoc Raya Fest rancakkan ekosistem perniagaan

SHAH ALAM, 15 MAC: Penganjuran Selangor Havoc Raya Fest 2026 bukan sekadar memberi ruang kepada usahawan memasarkan produk, malah turut merancakkan keseluruhan ekosistem perniagaan yang terlibat dalam industri acara dan perdagangan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata festival berkenaan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian pengurusan acara, termasuk vendor, pengurusan acara serta penyedia perkhidmatan berkaitan.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berucap dalam majlis perasmian Selangor Havoc Raya Fest di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 14 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Usahawan hanya satu segmen. Ramai lagi pihak yang terlibat seperti pengurusan acara, pembinaan pentas, proses rakaman dan logistik. Malah peniaga yang berniaga di dalam dewan serta yang menjual makanan di luar juga menerima tempias daripada penganjuran program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan festival berkenaan di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, malam tadi.

Menurutnya, sepanjang festival yang berlangsung 96 jam tanpa henti itu, seramai 300 usahawan terlibat termasuk 30 usahawan Selangor terpilih yang diberikan tapak niaga secara percuma.

“Usahawan dipilih melalui proses penilaian dengan memberi keutamaan kepada mereka yang berpotensi serta mempunyai produk berkualiti.

“Ini memberi peluang kepada mereka berniaga bersama jenama lebih besar sekali gus membantu mengembangkan perniagaan,” jelasnya.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi melawat gerai peniaga PLATS selepas majlis perasmian Selangor Havoc Raya Fest di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam pada 14 Mac 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pada majlis sama, Najwan turut mengumumkan pengagihan kupon digital bernilai RM20 kepada 500 pengunjung terawal, menjadikan jumlah keseluruhan nilai agihan sebanyak RM10,000.

“Pengunjung boleh menebus kupon berkenaan di reruai usahawan yang memaparkan kod QR Platform Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap penganjuran festival dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Kita akan melihat sambutan serta sejauh mana impaknya kepada usahawan. Berbanding tahun lalu, banyak penambahbaikan dilakukan tahun ini termasuk susun atur dewan, pertambahan reruai dan keselesaan pengunjung,” katanya.

Menurutnya, festival tersebut turut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri menyediakan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan pelbagai keperluan menjelang sambutan Aidilfitri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.