MBPJ peruntuk RM800,000 pasang dua pam air di 'hotspot' banjir

14 Mac 2026, 1:01 PM
MBPJ peruntuk RM800,000 pasang dua pam air di 'hotspot' banjir

PETALING JAYA, 14 MAC: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM800,000 bagi memasang dua pam air baharu di kawasan hotspot banjir sebagai langkah mengurangkan risiko limpahan air ketika hujan lebat.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata pam air berkenaan akan dipasang di kawasan yang kerap dilanda banjir seperti Taman Medan Baru dan Jalan PJS 1/15, dengan kos sekitar RM400,000 bagi setiap unit.

“MBPJ telah mengenal pasti tujuh kawasan hotspot banjir di bandar ini yang memerlukan langkah mitigasi segera bagi mengurangkan risiko limpahan air ketika hujan lebat.

“Empat kawasan ini tidak mempunyai pam air dan kos pemasangan amat tinggi. Mesyuarat jawatankuasa teknikal MBPJ yang dipengerusikan oleh saya tempoh hari telah bersetuju untuk membina dua unit dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBPJ dengan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) di sini hari ini.

Pertukaran dokumen ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Dan Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) di Hotel M Resort, Kuala Lumpur pada 14 Mac 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Zahri menambah MBPJ sebelum ini turut melaksanakan beberapa inisiatif tebatan banjir termasuk pembinaan dua kolam On-Site Detention (OSD) serta struktur kawalan limpahan sungai (SKALIS) di empat lokasi strategik.

“Keseluruhan projek pemasangan OSD dan SKALIS itu melibatkan kos sekitar RM15 juta. Pembinaan SKALIS di Kondominium Sri Manja Court (Taman Sri Manja), Jalan PJS 1/15, Flat Medan 32 (Taman Buana Perdana) dan Jalan PJS 3/56 (Taman Medan Baru).

“Bagaimanapun, sistem sedia ada hanya mampu menampung kadar hujan sekitar 60 milimeter, dan sekiranya hujan berterusan melebihi tempoh satu jam, air berpotensi melimpah keluar dari sistem berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan MBPJ akan membentangkan pelan komprehensif menangani banjir kepada Kerajaan Negeri melalui EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim selepas Aidilfitri bagi tindakan lanjut.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.