SHAH ALAM, 14 MAC: Senarai akhir atlet Selangor yang bakal menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dijangka diumumkan Jun ini selepas melalui proses pemilihan dan pembangunan yang ketat.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, ketika ini atlet negeri sedang menjalani fasa akhir latihan serta saringan berperingkat yang dikendalikan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.
Menurutnya, pemilihan atlet bukan sahaja berdasarkan prestasi sukan, malah turut mengambil kira aspek disiplin termasuk pematuhan terhadap program latihan dan pemakanan yang ditetapkan.
“Walaupun nama mereka (atlet akhir) dicadangkan persatuan sukan, namun MSN sendiri akan pantau. Mereka perlu jalani latihan, perlu ada disiplin tinggi dalam ketetapan dari segi pemakanan, latihan.
“Kalau mereka dikesan tidak mengikut kaedah digunapakai ini, walaupun bagus tetapi tidak berdisiplin, kita tak pilih. Kita mahu yang berdisiplin supaya mereka tak ambil mudah sebarang bentuk cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penyerahan baucar Jom Shopping Perayaan Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik hari ini.
Pada Februari lalu, Pengarah Eksekutif MSN Selangor Mohamad Nizam Marjugi memaklumkan kontinjen negeri menyasarkan kira-kira 80 pingat emas pada temasya SUKMA 2026.
Menurutnya, atlet Selangor dijangka mampu muncul juara dalam 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan 474 acara yang dipertandingkan melibatkan 37 jenis sukan.
Pada temasya SUKMA 2024 di Sarawak, Selangor berjaya melepasi sasaran apabila menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan kutipan 181 pingat iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang manakala Para SUKMA akan diadakan dari 15 hingga 20 September 2026.
Sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan bagi Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.








