Subsidi RON95 kekal, perbelanjaan bahan api dijangka cecah RM3.2 bilion

13 Mac 2026, 7:32 AM
Subsidi RON95 kekal, perbelanjaan bahan api dijangka cecah RM3.2 bilion

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan akan terus mengekalkan subsidi petrol RON95 bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat walaupun langkah itu dijangka meningkatkan perbelanjaan subsidi bahan api hampir tiga kali ganda.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kenaikan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat dijangka meningkatkan perbelanjaan subsidi kerajaan kepada RM2 bilion, berbanding RM700 juta sebelum ini.

Beliau berkata subsidi diesel turut meningkat kepada RM1.2 bilion sebulan, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi bahan api kini sekitar RM3.2 bilion.

Walaupun begitu, kerajaan masih mampu menampung peningkatan tersebut hasil pembaharuan fiskal dan penyelarasan kewangan yang dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lalu.

“Namun penting untuk diingat bahawa konflik ini mungkin berlarutan. Oleh itu, kita perlu memikirkan langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan beban pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Konflik di Asia Barat yang kini memasuki minggu kedua telah menjejaskan rantaian bekalan global serta menyebabkan harga minyak mentah meningkat daripada sekitar AS$60 setong kepada lebih AS$100 setong.

Amir berkata Malaysia setakat ini tidak berdepan gangguan bekalan seperti yang berlaku di beberapa negara lain kerana mempunyai bekalan minyak dan gas yang stabil.

“Kita menjalankan penerokaan domestik dan mengeluarkan minyak sendiri. Kapasiti penapisan negara serta pengeluaran tempatan membantu memastikan bekalan mencukupi, manakala sistem penyimpanan dan pengedaran di seluruh negara juga stabil,” katanya.

Menurut beliau, syarikat seperti Petronas akan terus meneroka sumber bekalan baharu bagi memastikan rizab minyak negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.

Mengulas sama ada kerajaan akan terus mengekalkan subsidi sekiranya konflik berlarutan, Amir berkata kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan pendekatan lain.

“Buat masa ini kita belum tahu berapa lama konflik ini akan berlarutan,” katanya.

Beliau turut berkata kerajaan akan menilai kesan konflik tersebut terhadap ekonomi negara, memandangkan prestasi ekonomi yang kukuh tahun lalu membantu Malaysia menghadapi situasi ini dengan lebih baik.

Bagaimanapun, langkah pencegahan tetap perlu bagi memperkukuh ekonomi termasuk meningkatkan pelaburan domestik.

“Usaha lain termasuk memperbanyak projek berskala kecil bagi menyokong perniagaan tempatan, memastikan kestabilan perniagaan serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

“Di tengah ketidaktentuan global, Malaysia boleh menonjolkan kekuatannya. Pelabur asing melihat Malaysia sebagai negara yang selamat, stabil dan berpotensi.

“Insya-Allah kelebihan ini akan membolehkan kita terus berkembang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.