SHAH ALAM, 1 JUN: Permohonan subsidi pengangkutan awam menerusi Pakej Daya Tahan Selangor menerusi aplikasi NINE mula dibuka hari ini.
Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkata warga Selangor yang layak boleh menikmati subsidi tambang RM30 sebulan selama enam bulan.
“Peluang ini terhad kepada 50,000 pemohon terawal sahaja dan tertakluk kepada syarat serta kelulusan ditetapkan.
“Permohonan akan dibuka pada 1 Jun 2026, justeru, orang ramai disarankan bersedia lebih awal kerana dijangka menerima sambutan tinggi.
"Rebut peluang lebih awal dengan memuat turun aplikasi NINE dan melengkapkan pengesahan kendiri (eKYC) sekarang,” katanya menerusi Facebook.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor membabitkan peruntukan RM131 juta bagi menghadapi kesan krisis geopolitik di Asia Barat.
Pakej itu turut menekankan usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan bantuan bersasar kepada golongan paling terkesan susulan krisis Asia Barat ketika ini.








