SHAH ALAM, 13 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak berkenan dengan penyebaran andaian dan ramalan di media sosial mengenai tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Istana Alam Shah memaklumkan andaian tanpa asas mengenai penetapan tarikh perayaan berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Baginda tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli seumpamanya yang seolah-olah boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Sehubungan itu, Baginda menyeru orang ramai supaya bersabar serta tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial, sebaliknya merujuk kenyataan rasmi pihak berkuasa agama.
“Baca dan hadamkan kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara ini,” menurut kenyataan tersebut.
Baginda turut menegaskan pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 19 Mac selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, selaras dengan amalan yang telah lama diamalkan di negara ini.
“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal Ramadan dan Syawal sendiri melalui rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur serta berpandukan keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.
"Kaedah berkenaan sudah lama dipersetujui Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan negara lain,” titah Baginda.
Pada masa sama, Sultan Selangor menasihatkan umat Islam supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan peluang memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah dan doa.








