SABAK BERNAM, 13 MAC: Jumlah pelancong ke Sabak Bernam meningkat kepada 71,414 orang tahun lalu, berbanding 41,032 orang pada 2024, iaitu pertambahan sebanyak 74 peratus.
Pegawai Daerah Sabak Bernam Ali Sadikin Sadin berkata peningkatan itu menunjukkan daerah berkenaan semakin dikenali sebagai destinasi pelancongan desa yang mempunyai keunikan tersendiri.
"Keindahan sawah padi, program inap desa, kawasan pantai serta tarikan seperti Kelong Paradise dan Pusat Konservasi Kelip-Kelip Sungai Panjang antara faktor yang menarik kehadiran pelancong.
"Tarikan semula jadi serta pengalaman pelancongan desa yang ditawarkan menjadikan Sabak Bernam semakin mendapat perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.
Beliau berkata penglibatan sektor swasta turut merancakkan industri pelancongan tempatan melalui pembangunan produk pelancongan yang unik.
"Antara tarikan yang semakin popular termasuk Muzium Padi Sekinchan yang memaparkan sejarah penanaman serta pemprosesan padi selain Ah Ma House yang menampilkan konsep kedai nostalgia era 90-an.
"Dalam masa sama, usaha penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan awam terus dilaksanakan bagi memastikan fasiliti dalam keadaan selamat, selesa dan berkualiti untuk kegunaan semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat serta Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H di Masjid Marzukiah, Kampung Lubuk Pusing, di sini semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri turut memperkukuh ekonomi daerah melalui inisiatif Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) yang memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, pengukuhan industri perikanan, pembangunan eko-pelancongan serta pembentukan hab pertanian moden.
“Inisiatif SABDA yang diperkenalkan melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) merupakan langkah strategik bagi merancakkan pembangunan ekonomi daerah secara lebih agresif dan mampan.
"Pelaksanaan inisiatif ini yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dijangka memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi daerah," katanya.
Tambah beliau, antara projek utama yang akan diteruskan dalam RS-2 termasuk cadangan Pusat Pendaratan Ikan di Sekinchan seluas 415 ekar serta projek akuakultur di Sungai Lang seluas 460 ekar yang dilaksanakan oleh anak syarikat MBI iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
“Sosioekonomi Sabak Bernam masih bertunjangkan sektor pertanian sebagai asas ekonomi luar bandar. Walaupun pembangunan perindustrian masih sederhana, daerah ini mempunyai potensi besar dalam agromakanan, perikanan, pelancongan desa dan ekonomi kreatif.
“Potensi ini diyakini mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat ke arah menjadikan Sabak Bernam sebagai daerah agropolitan,” katanya.











